RILISAN SINGLE TERBARU DEATH • BECOMES • HER “TONIGHT”




Perintis post-punk / darkwave dari Klang, Malaysia mengeluarkan single terbaru yang berjudul “Tonight” pada Jumaat, 13hb Mac, 2020 yang lepas.  Single ini merupakan single kedua yang diambil dari album penuh mereka berjudul Parallels yang bakal dilancarkan September 2020. Single ini merupakan sebuah produksi penuh, rakaman dan kejuruteraan audio oleh Tun Farul Azri, selaku penyanyi kugiran ini. Bersama rilisan single terbaru ini juga, DEATH • BECOMES •  HER merancang untuk meriliskan video muzik rasmi pada 17hb Mac, 2020 di Laman YouTube mereka.

Buat masa ini, “Tonight” sedang menerima siaran udara di beberapa radio di United Kingdom termasuk di MMH - The Home of Rock Radio, Nightbreed Radio dan juga di Dark Mother Radio yang berpengkalan di Seattle, Amerika Syarikat. Single ini juga mendapat reviu yang baik dari majalah muzik dan juga label rakaman di Belgium, Luminous Dash, di dalam kolum Uitheems Geduister #70 oleh penulis Nel Mertens, selepas ianya dirilis di Eropah terlebih dahulu sebelum tarikh rilisan antarabangsa.



“Tonight” dibuka dengan dengan bunyian atmosferik dari arpeggio synthesizer dan disentak dengan lantunan instrumen timpani yang kebiasaannya terdapat dalam muzik orkestra, sebelum ‘dibawa’ oleh rentak drum dengan corak ‘16 beat’ yang meladeni keseluruhan lagu ke dalam tema EBM (Electronic Body Music). Memetik dari Tun Farul Azri, “‘Tonight’ adalah berbeza dari rilisan single sebelum ini iaitu “Sanctuary of a Love Cult” yang lebih berorientasikan gothic rock. ‘Tonight’ ditulis dalam nada berbeza dan diadun  dalam konsep ‘gelap’ yang menggembalikan nostalgia kelab malam post-punk, ‘Batcave’ di London sekitar tahun 1982.”

“Kami cuba mencipta bunyian dari era 80an & 90an di dalam lagu ini, juga konsep videonya. Mengimbau zaman remaja dalam era ini ketika menonton TV dan mendengar muzik di radio, benar-benar membuka ruang untuk kami berkarya dalam lagu ini,” kata pemain bass, Pitt Idris.

Untuk mengikuti perkembangan DEATH • BECOMES •  HER, mereka boleh diakses di sosial media dan dengarkan karya mereka di platform digital seperti Spotify dan Youtube. 

Comments