SANGGARLIRIS, ALTER EGO DAN PERIHAL TOKSIK MASKULIN



Sanggarliris yang membawa maksud tempat pemujaan dan penuh emosi adalah sebuah projek solo Kamil dari kugiran post-rock MIM, yang baru saja merilis Tika (Moments) pada 11 januari yang lalu. Mengandungi tiga buah trek, antaranya Lupus, Cetus dan Lyra, tajuk treknya juga adalah berdasarkan nama-nama buruj yang sebenar, tetapi dalam masa yang sama mempunyai maksud lain dalam bahasa melayu dan mempunyai kaitan dengan intipati asal lagu tersebut. "Ia berbeza dengan bunyian MIM meskipun membawa genre post-rock namun di Sanggarliris, ia memberi nuansa yang berbeza." Menurut Kamil, ketiga-tiga trek ini juga membawa penceritaan yang berbeza dalam setiap lagu.  "Ketiga-tiga lagu dirakamkan ketika saya sedang porak-peranda, minda saya bercelaru, patah hati berkali-kali, kepercayaan yang dikhianati dan hari-hari saya penuh kegagalan, terutama sekitar 2019"



Mengenai trek lagu dalam Tika (Moments) "Susunan dram, gitar, bass, vokal dan key adalah daripada saya sendiri. Ia adalah sebuah tempat saya melempiaskan perasaan-perasaan saya apabila saya hidup dibawah tekanan bahawa lelaki kena 'kuat', 'tak boleh menangis', wajib 'be a man', dan harus 'suck it up' lalu saya tangisi jiwa saya melalui lagu yang terdapat dalam Tika" Tambah Kamil. "Nasihat saya, berhentilah dari pegangan tersebut. Semua manusia lahir di dunia dalam keadaan paling lemah dan janganlah kita merasa sentiasa kuat dari orang lain hanya kerana kita tidak diuji. Ujian setiap manusia lain-lain. Bila tibanya hari kita diuji, barulah kita sedar yang kita tidak sekuat mana pun."

Tika (Moments) ini boleh didengarkan di Youtube dan Bandcamp selain boleh mengikuti perkembangan karya Kamil dan MIM di sosial media @_Kamilgondang dan @soundofmim di Instagram.


Comments