LUCY M: LOQUE, NUSANTARA DAN MAKAN ULAM TANPA LELEHAN KEJU



Artikel oleh: Lucy M
Foto: Instagram Monoloquerasmi



Ia petang yang nyaman dan saya wasted. Maksud saya bukanlah saya terkial-kial selepas baru meneguk arak tapi saya tidak tahu menghabiskan masa seproduktif apa melainkan melayari internet. Kain layar dipasang dan wifi menjadi angin. Jika ia kencang bertiup, perjalanan ini bakal menjadi lancar atau sebaliknya. Saya memasuki muara Youtube dan di sana saya menemui sebuah talk show di dalam hutan berjudul What The Faiq.

Ia bukanlah talk show bercakap pasal bushcraft atau ilmu pawang apatah lagi segala pantang larang supertitious orang Nusantara bila di dalam hutan yang super killjoy semacam itu. Ia sebuah talk show yang menyentuh soal-soal masharakat. Dari sudut politik, sosial dan hiburan- beberapa panel yang kita suka dan tak suka, expected dan not expected, menumpahkan kata-kata yang akan didebatkan di twitter seandainya ia bangang dan sedap dijadikan lauk.

Saya tidak mengikuti semua episod kerana saya ada life di luar lembah internet yang memerlukan penggunaan masa saya dengan lebih real. Namun begitu saya sempat mengikuti episod bersama mamat Grunge nombor dua negara, Monoloque. Siapa nombor satu tanya kalian? Sudah pastilah Pak Din, maskot majalah komik nasional. Dengan pakaian dan gaya hidup laid back sebegitu, siapa boleh menafikannya?

Perlu saya jelaskan di sini yang ini cumalah opini peribadi saya dan saya tidak memaksakan tekak sesiapa untuk menelan tulisan ini. Saya juga tidak mengharapkan sesiapa menjadi apologetik ke atasnya kerana saya percaya bangsa yang berwawasan adalah bangsa yang rajin membaca tulisan orang lain kemudian membalasnya kalau tak puas hati.

Kembali kepada cerita Loque tadi, di dalam episod tersebut, dia mengutarakan konsep keNusantaraan di dalam dunia musik. Sebelum Loque menubuhkan Monoloque yang kelihatan Melayu itu, elemen Nusantara sudah pun digunakan dalam material-material Butterfingers.

Apa elemen Nusantara ini? Kalau tak ada yang mengerti Nusantara ini apa yang dimaksudkan dengannya, ia bermaksud pengaruh budaya dan lingiustik antara pulau dalam Alam Melayu.

Meskipun Butterfingers dilihat sebagai jelmaan demi-god bernama Nirvana, Butterfingers memilih untuk menggunakan unsur dan bunyian alat musik Nusantara dalam lagu-lagu mereka. Boleh kita dengari bunyi gamelan dalam beberapa lagu mereka. Sengaja saya tidak meletak judul-judul lagu itu di sini kerana saya juga percaya bangsa yang kuat adalah bangsa yang rajin meneroka.


Ia juga dapat dijejaki, dilihat jelas dengan kedua bola mata anugerah tuhan, nama judul album Butterfingers seperti Malayneum dan cover album Transedence yang menampilkan cuplikan gang of kerabat Kelantan yang bergambar bersama hulubalang di era kolonial ketika kedatangan seorang residen British bernama John Anderson yang diambil pada tahun 1909.

Walaupun album-album ini masih lagi berlidah Inggeris tapi kulit dan isinya masih lagi kuning langsat dan memakan ulam tanpa lelehan keju.

Loque menyebut perkara-perkara ini sebagai sentuhan local things. It's always the local things katanya yang membentuk karakter. Westernisasi pastilah sedikit sebanyak adalah pengaruh yang kuat kerana ia rujukan terbesar untuk apa pun dan sentiasa punya market tapi local things adalah teras bagi menanam idea dan tapak mula sesebuah perjalanan.

Saya mengangguk-angguk setuju walaupun masih keliru, buntu serta celaru for god sake apakah itu yang membuatkannya menyanyi lagu raja namun cerita local things ini membuatkan saya mengingati material-material pemuzik-pemuzik lain yang kelihatan westen tapi hati lokal seperti Aman Ra dam WARIS.

Local things yang ada pada kedua-dua pemuzik ini paling mudah untuk dicermati menerusi penggunaan bahasa utama lagu-lagu mereka iaitu bahasa Melayu. Walaupun pakai bahasa rojak tapi base of the soup ialah bahasa Melayu

WARIS, tanpa segan silu meletak figura Negeri Sembilan dan Adat Perpatihnya dalam lagu-lagunya. Dari scene Rembau, kita dibawa mengenali gadis-gadis Jelebu dan menjadi student untuk bahasa Nogori kelahirannya itu menerusi perkataan-perkataan yang dizahirkannya dalam lagu-lagunya. Dia juga lebih santai membawa tema-tema kecil, hal-hal yang dipandang enteng dan tidak edgy untuk dijadikan konten. Buat lagu pasal zaman sekolah, pasal catchphrase Najib Razak, nak diss orang pun masih klaim dia tu matrilinial. WARIS macam tak ada life tapi ada balls. Big balls.

Aman Ra pula, anak jati Dato Keramat ini menonjolkan sisi hustling anak-anak flat. Lagu Budak Flat, Malu Tanya Sesat, Yedowh mencungkil pergelutan ini. Menjadi budak flat tidak seharusnya mematahkan spirit. Kaki mungkin patah bila lif rosak tapi bukan spirit. Tidak sesekali. Fuck lif. Liriknya yang paling kacau jiwa sekali yang pernah saya dengari berbunyi begini "Apakah sepatutnya aku berkarya demi budak rap? Ataupun seharusnya aku angkat martabat budak flat?" Amboih. Ia harus sentiasa mengingatkan kita yang Aman Ra bukan sekadar nak beli Yezzy dan jadi trending di Youtube bila masuk dalam scene. Dia ada kingdom nak dibangunkan. Dan kingdom itu bakal didirikan di atas rumah flat.

Ini sebahagian local things yang membentuk karakter pemuzik untuk pergi lebih jauh. Joe Flizzow yang sudah pergi London and-hell-i-dont know-ke-mana-lagi-dia-dah-pergi dan kini katanya makan kari udang galah- bermula dengan sampel Anak Ayam, lagu rakyat Nusantara dan makan mi segera perisa kari bukan kari udang galah. Di era kemuncaknya, local things ini diabadikan dalam Apa Khabar sebagai satu monumen pembentukan diri.

Local things boleh jadi bahasa setempat atau pun hal-hal setempat yang dilihat tak punya market. Tidak salah berimpian besar namun gagasan diri harus ditukang rapi dan kukuh dulu. Orang takut mengangkat local things kerana ia sering dianggap oudated. Semua orang nak cakap Inggeris tapi cuba tengok apa jadi dengan We Chat sekarang?

Ia sebuah pencerahan bagi saya yang masih lagi cikai dalam memahami makna sebuah perjuangan. Saya terlupa sama ada di petang yang wasted itu saya menangis atau pun tidak namun saya tahu, kalau pun ada yang tertumpah, itu air mata keinsafan. Meskipun di hujung tulisan ini saya masih tidak tahu apa sebab Loque pergi nyanyi lagu raja. Menari-nari pula tu. Apakah ia sentuhan local things juga atau pun sebaliknya.

Comments