PROFIL DHAN ILLIANI YUSOF, SENI INSTALASI DAN ARUS BINTI



Dhan Illiani Yusof adalah seorang artis konseptual self-taught yang sering menyelam dalam tema identiti dan wanita. Karyanya tertumpu kepada perkembangan melalui emosi dan perubahan pemikirannya sebagai seorang gadis kepada seorang wanita dalam polarisasi budaya dan agama. Kerja-kerja beliau adalah perbualan konfrontasi yang sering terjadi bersama dirinya dan orang-orang lain untuk lebih memahami dunia sekeliling.

Pengenalan 
pada 
seni rupa
atau instalasi
Mulai aktif sejak sekolah menengah, berkarya dan rajin mempamer hasil kerja seni di media sosial, usaha itu membantu mendedahkan karya dan diri sebagai artis kepada individu dari beberapa komuniti seni lokal yang kemudiannya membuka pintu pelbagai jemputan untuk berpameran serta peluang berkerjasama dan mempelajari ilmu seni rupa dengan lebih mendalam.

Apakah seni rupa 
atau instalasi
memiliki genre? 
Maksud di sebalik 
karya-karya anda.
Ya, ada beberapa genre, karya saya lebih kepada ilustrasi, installation, fotografi, filem, reka
bentuk fesyen dan seni persembahan. Karya saya lebih berperanan memahami diri sendiri dan dunia sekeliling, sejak muda saya dapati bahawa saya seorang individu yang lebih peka serta efektif mengeluarkan buah fikiran dan emosi dalam bentuk visual berbanding lisan. Sebagai seorang yang agak ‘awkward’, kerja saya membantu memaparkan pemikiran dan emosi dengan lebih telus. Selain itu, saya juga berhasrat menimbulkan persoalanan yang bukan untuk dijawab, cukup hanya dibincangkan oleh individu berlainan kerana kadangkala kerja dihasilkan adalah karya ‘in progress’ yang memerlukan masa, seperti pengkarya abstract yang berkarya dulu dan memahaminya kemudian.

Apa mesej 
yang cuba disampaikan 
dalam karya 
anda?
Antara paling jelas dalam karya saya ialah tentang ‘growth’ atau perkembangan individu, mahu mendorong individu lain untuk lebih ‘kind’ dan ‘tolerant’ dalam tingkah laku mereka terhadap diri sendiri dan orang lain dalam proses pembelajaran masing-masing. Menginspirasikan individu lain terutamanya wanita untuk berekspresi, bersuara dan berkarya melalui cara mereka sendiri, dengan kemungkinan memupuk nilai untuk melihat semua perkara di sekeliling sebagai sesuatu yang mempunyai lebih dari satu potensi untuk diterokai.

Anda melihat perkembangan 
seni rupa atau instalasi di Malaysia, 
adakah semakin membaik 
atau sebaliknya?
Sebagai seorang yang bukan daripada pendidikan atau program seni rupa, pandangan saya agakterhad, bagi saya, walaupun agak perlahan ia sedang berkembang baik. Tidak dinafikan masih banyak boleh diperbaiki, lagi-lagi dengan sebahagian besar masyarakat yang masih memandang aliran atau matapelajaran seni itu perkara remeh. Aspek paling utama untuk perkembangan seni rupa ialah membentuk nilai kesedaran dan penghargaan tinggi terhadap seni dalam masyarakat, dan itu bermula dengan industri atau scene kita untuk melibatkan dan mengangkat bakat tempatan sendiri.

Pengaruh awal anda pada permulaan, 
ada seniman seni rupa/instalasi yang 
menginspirasikan karya-karya
anda hasilkan?
Awalnya saya tidak menganggap minat dalam seni sesuatu yang serius selain daripada hobi sahaja, sehingga bertemu dan bekerjasama dengan seorang artis visual; Sharina Shahrin yang kemudian menjadi rakan rapat. Dia menjadi pengaruh penting perkembangan seni saya, bersama seorang lagi artis visual; Amani Azlin yang sering tunjuk ajar dan membimbing. Lama-kelamaan mereka semakin yakin bahawa saya mampu jadikan minat berseni sebagai profesion dan karier.

Ceritakan tentang
karya Arus Binti
dan hal-hal
mengenainya 
Gadis yang menjumpai keyakinan dalam diri dan suaranya melalui arus kehidupan. ‘Arus Binti’ untuk wanita berdaya tahan terhadap pelbagai ujian dilemparkan pada mereka, walaupun karyanya nampak minimal, saya berhasrat membawa maksud yang dalam: Unsur air dalam filem berperanan utama, walaupun tidak ditekankan terlalu banyak dalam filem pendek 1 minit itu, ia digambar sebagai sifat fizikal, juga sifatnya sebagai antagonis dan protagonis. Sungai adalah kehidupan, secara literal. Perjalanannya melalui sungai atau hidup tidak selalu tenang, ia boleh bergolak atau jatuh seperti air terjun. Tetapi seperti air, gadis tersebut juga tahan lentur dan teguh berdepan liku yang menerjah, dia bagai air yang enggan berbentuk, menentang cara semulajadi air dibentuk acuannya--semangkuk air, secawan air, tasik, hujan atau sungai. Sebenarnya ia bukan hanya tentang seorang gadis, ini tentang dia. Kepercayaannya dalam diri ditangkap dalam nyanyian puisi seakan berzikir, mencerminkan keredaan memberi ruang dalam menerima ujian dan ketenangan menghadapi aliran emosi, memahami kebenaran yang bertukar melalui ujian berbeza.

Projek seterusnya, 
dan harapan 
seni instalasi di Malaysia.
Buat waktu ini lebih fokus bereksperimentasi dalam seni konseptual, puisi, dan juga ingin memahami lanjut proses pembikinan filem dan khususnya lebih fokus dalam menghasilkan projek yang mampu membawa identiti unik serta tersendiri. Ada juga hasrat memulakan projek yang bermain aspek reka fesyen buat membantu menabung dana untuk mencuba idea dan minat lain. Saya berharap melihat seni rupa yang membawa ciri dan sebahagian identiti Malaysia dalam perspektik yang unik dan lain. Kepelbagaian gaya, pendekatan menarik serta baru, dan untuk para artis bereksperimen dengan lebih berani dalam karya.


Comments

  1. ayo daftarkan diri anda di a*g*e*n*3*6*5 :D
    WA : +85587781483

    ReplyDelete

Post a Comment