MEOR HAILREE: NOISE-POETRY, DADAISM DAN FILPEN



Ayah kepada Adam Filsuf dan Suami kepada Siti Zulaikha. Penyajak gi-liar, pelacur filem Abbas Kiarostami, Michel Haneke, Pier Pasolini, dan Jaques Tati dan banyak lagi tapi mahukan Scorsese sebagai atuk kandung. 

Meor Hailree sudah berada di dalam 'scene' semenjak 2012 sehingga 2017. Sudahmemiliki 2 buku yang di terbitkan dibawah penerbitan Rabak-Lit (sekarang adalah salah satu dari anak syarikat Write & Brave Publication) antaranya adalah Novel Eksperimental (2012), sebuah novel gabungan 10 orang penulis, Lelaki-lelaki Merbahaya (2016), sebuah naskah sajak feral himpunan beberapa lagi penyajak hebat. Meor bersajak semenjak 2012 dibawah gerakan gerila seni global, Projek Rabak dan berjaya men-khatam-kan semenanjung dengan kata dan aksi. Dikenali dengan penyampaian sajak yang liar dan essentrik. Bunyi-bunyian dan angin Yamatsuka, Hanatarash, Nick Cage, Kok Kobeng bergabung 7 biji gitar menemui Tuhan. Mengarah 8 filpen dan masih kerap
menulis atas faktor kebosanan di tempat kerja. Sekarang Meor di fasa hiatus untuk fokus pada perkembangan keluarganya.

Interviu via whatsapp ini selepas aku tiba di Kuching, mengenali susuk Meor Hailree beberapa tahun lepas lamanya di Galeri Rabak ketika diskusi sajak eksperimental bersama Jack Malik, Topek (Tulangkata) dan Meor. Selepas itu Meor menggila dengan gitar dan bunyian bingit dan sajak-sajak beliau.  

Disoal mengenai penglibatan awal Meor Hailree bereksperimen dengan noise atau sound art, Meor mengatakan Komuniti Rabak mendidik beliau dengan cubaan demi cubaan untuk mula mencari karakter dalam permainan sajak itu sendiri. "Sebenarnya pasal ni kena pergi 2-4 tahun lepas, malam keramat antara aku, Muharos dan Jack Malik di McD seksyen 18. Kitorang ditugaskan untuk tulis satu sajak cinta paling power sekali dan akhirnya semua gagal. Dari situ aku dididik oleh Jay dan komuniti Rabak dengan cubaan demi cubaan untuk mula mencari karakter dalam permainan sajak itu sendiri sebab kita dibanjiri dengan penyajak-berdiri-baca-settle dan duduk. Dengan prinsip Rabak yang sentiasa nak 'merosakkan' sastera. Aku pada masa tu, di Puncak Perdana mula diberi oleh Jay dengan Hanatarash, Boredom, Yamatsuka Eye, John Zorm dan lain-lain. Pendekatan noise dalam persembahan selalu dianaktirikan oleh komuniti seni sebab kadang-kadang kami dianggap hanya kuat dibunyi tetapi kurang kondisi. Jadi, aku rasa kalau aku memasukkan elemen bising bunyian noise dalam sajak aku, aku rasa kemarahan aku lebih fluid dan aku lebih bebas memilih perkataan."


"Aku nak stand above else dalam cara yang lebih radikal dan penyampaian yang lebih 'pokok' antara sebab kenapa aku tak pakai kasut dalam persembahan tapi perkara ini kena kaji lagi dan aku tak selesa lagi nak letakkan  persembahan aku sebagai 'sajak' sebab kedalaman sajak itu sendiri lapisan perlu dirungkai. Aku baru dalam lapisan pertama dan jauh lagi untuk aku dalami erti kata 'sajak'. Jadi, aku lebih suka tafsirkan persembahan aku sebagai art performance"

Dalam buku Noise Uprising karya Michael Denning, noise adalah kita membuang jauh makna muzik seharusnya indah dan rapi. Mengaitkan noise dan dadaism adalah hal harus dipertanyakan kerana Meor dan komuniti Rabak yang sememangnya gemar bereksperimentasi sehingga keadaan itu menjadi luar biasa. "Sebenarnya tidak ada beza antara Dada dan Noise kerana berkongsi konsep yang sama, melanggar norma seni. Dalam spesifikasi persembahan, ada satu tradisi yang tak tertulis yang menyebabkan termaktub undang-undang berkaitan persembahan bidang seni ini memerlukan suatu ketetapan dan ruang untuk para penonton, seniman dan seniwati berasa selesa. Keadaan Zurich semasa pasca perang dunia pertama menyebabkan mereka mencari apa lagi yang boleh dibawa dan diketengahkan untuk melengkapkan lubang budaya disitu." Menurut Meor.

"Kemunculan gerakan dadais yang mengejutkan ramai pihak yang berada di zon selesa atau terbiasa dengan norma seni dan menuju revolusi baru yang dimana seni tak perlu ada undang-undang. Pemahaman falsafah ini yang menyebabkan ramai terinspirasi melalui setiap keselesaan pembawakan seni masing-masing dan ini tidak terkecuali dalam budaya noise."

"Apabila Sonic Youth, Sebadoh, Dinasour jr, Nirvana dan Boredom menggila dengan sonik bingit, mereka dah bunuh segala undang-undang tu. Kadang-kadang dalam punk pun ada undang-undang yang tak tertulis, macam apa lancau, weh?    Falsafah melanggar ni memang dah ada dalam darah daging aku, memang kita ni kuat nak melawan,kan? Tapi itulah kita, dikuasai dengan undang-undang dan pembodohan."


 "Keith Morris pun pelik dalam punk pun nak kena ada etika pemakaian dan keterampilan dan kau perlu dengar  ni baru punk dan dengan itu tak punk. Itu dan Ini. Ia dah jadi tak betul. Kebebasan adalah kunci untuk pembiakan, persenyawaan daya kreativiti seseorang artis untuk merevolusikan sesebuah kebudayaan demi kepentingan peradaban. Jika falsafah kebebasan ini tak wujud dalam permainan noise ini, maaf aku memang tak akan hadam. Kebisingan juga perlambangan kekeliruan dan itu juga kunci utama kenapa aku tertarik dengan noise jika nak dibandingkan dengan jahit-jahit kata, lagi menggeletor, hahaha!

Kita memang dah terbiasa dengan 'bising'. Bunyi kereta dijalan yang sesak, mak bising bangunkan subuh, bini bising nak pergi kerja, anak merengek, bos macam babi, motor tinggal lagi dua jumaat dan semua itu main peranan untuk kau hadam dalam hati dan cuba interpretasikan dalam permainan noise macam Kraftwerk bikin dulu. Pink Floyd dengan Dark Side of The Moon pun dah bagi kitab agung tentang bagaimana kebisingan boleh distrukturkan dan relevan untuk dijadikan veda untuk mamat abad 21."

REALITI DAN LOGIK.

"Dimanakah pemisah antara realiti dan logik? Mengapa harus ada supernatural dan mengapa harus ada undang-undang mutlak universal?mengapa maya ini terlalu hibrid dangan idea yang bertentangan?"

"Maya ini ada pritagonis dan antagonis. Penetapan-nya terletak pada pendapat kita. Bagi aku, protagonis maya adalah realiti dan antagonis adalah logik. Logik melihat kepada perkara yangsepatutnya mengikut perkiraan dan undang-undang alam, seharusnya menjadi sebergitu dan tidak boleh menjadi selain darinya. Realiti pula adalah penerimaan yang tiada kompromi kepada ketidakadilan kekeliruan antara logik dan tidak logik. Umpama agama, dalam Islam kita harus menerima yang Allah adalah tuhan sekalian Alam dan tiada tuhan lain yang selayaknya disembah melainkan Allah sahaja. Itu adalam penetapan logik dalam realiti agama Islam. Logik itu diletakkan di dalam idea agama spesifiknya islam dan realitinya, keberadaan sosial meletakkan kita untuk mematuhi undang-undang kefahaman bersama ini dan melanggarinya adalah vodoo yang paling daulat dalam sistem sosial dan kognitif sosial/komuniti. Melainkan kita mempunyai bukti kukuh untuk memberikan bukti bahawa Logik untuk kewujudan alam selepas kematian dimana realitinya berbeza 360° dari realiti kita dan perkiraan dari maya kita mampu untuk menerangkan logik kewujudan maya yang itu. Namun perkara ini bias sama sekali kerana kenapa kita harus menggunakan cara perkiraan yang asalnya dari maya ini untuk membuktikan kewujudan maya yang satu lagi? Itu adalah prejudis prinsipal dan undang-undang alam. Dalam Al-Quran ada menceritakaan mengenai ilmu yang dipunyai kita umpama setitik air di lautan yang luas jika mahu dibandingkan dengan pengetahuan Tuhan sekalian Alam. Dari itu Qur'an telah menegakkan tentang idea bias kefahamaan dalam memahami perkara yang diluar jangkauan pengetahuan kita."

"Kita tidak mampu untuk memahami kefahaman maya yang lain kerana itu bukan dalam kelompok kefahaman kita dan sebaliknya. Kita diletakkan berbeza Maya untuk kita fokus kepada ini sahaja kerana penciptaan manusia telah dianugerahkan dengan sifat ingin tahu yang sangat kuat. Macam kecenderungan seksual, ianya harus dilepaskan dan dibiarkan meliar untuk meneroka ke ruang atau
lembah yang tak pernah di jejak oleh kita spesifiknya Homo-Sapiens. Kita ada kecenderungan itu dimana seakan satu sumpahan yang celaka atau kebaikan manusiawi. Bergantung kepada cara kita
memikirkannya. Namun sentiasa lah ingat kisah Icarus, makin tinggi terbang menuju matahari namun akhirnya jatuh kerana sayap cair dari bahang matahari. Jika mengikut alegori gua oleh
Plato, matahari adalah simbol kepada pengetahuan, maka dalaam Icarus boleh lah kita terapkan simbolik matahari itu kepada alegori Plato dimana semaakin hampir Icarus kepada pengetahuan
yamg lebih mutlak dan lebih hebat dari apa yang mampu dia tanggung, sayapnya sampai ke tahap yang mutlak dan tidak akan mampu pergi lebih jauh. Akhirnya, Icarus jatuh ke tanah. Undang-
undang wujud memang untuk dilanggar, namun haruslah kita fahami apakah sebab asalnya undang-undang itu diwujudkan. Menentang harus tahu dimana tahap yang mampu kita capai agar
tak terjatuh sebelum sampai ke destinasi."


FILPEN: AKU BUKAN NIETZSCHE, A TASTE OF BABI, 12 JAM SEBELUM 3 PAGI DAN LORO



Beralih pada filem pendek yang dihasilkan figura Meor Hailree, antaranya Aku Bukan Nietzsche, A Taste of Babi, 12 jam Sebelum 3 Pagi dan terbaru, Loro, yang mula ditayangkan pada pembukaan road-tour Kembara Seniman Jalanan di rumah Khizanat, Ipoh. "Dari segi filem, aku memang eksperimental tetapi untuk diri sendiri. Maksud aku, untuk perkembangan kreativiti sendiri sebelum nak susun jalan menuju sebuah filem, InsyaAllah. Kata Meor, mengatakan minat paling mendalam adalah filem. "Aku memang sentiasa fikirkan filem 24 jam. Dari bangun sehinggalah tidur. Jadi, untuk seorang pembikin, dia kena sentiasa eksperimental dengan ilmu-ilmu baru sebelum khatam dan mengolah semula mengikut daya masing-masing."

"Bagi aku, amat penting dan setiap hari aku memang bereksperimen untuk setiap form dan teknikaliti. Jadi satu jurnal perkembangan aku. Kalau kau dapat lihat dari mula sampai paling latest, 'Loro' yang mula ditayangkan pada pembukaan road-tour Kembara Seniman Jalanan di Rumah Khizanat, Ipoh. Membikin filem adalah kemestian bagi aku cuma aku dah tak berapa berkesempatan semenjak dah ada anak ni. Cuma sekarang ni, aku sedang merancang untuk filpen seterusnya. Baru-baru ini, baru jumpa semula Muha dan ada perkembangan positif dari kelompok pembikin filem dari Ipoh. Aku jumpa Muha hari tersebut, dah mula membara semula rasa hati nak mula bikin semula. InsyaAllah, mungkin akan ada material baru dalam masa terdekat ini."


RUJUKAN FILEM, SKRIP DAN KRITIKAN.

"Rujukan dalam filem - aku banyak tengok filem dari banyak negara tak kira mana tempat, jadi aku ada banyak sangat rujukan yang kadang-kadang bukan sekadar dari filem itu sendiri, malah orang-orang yang apresiasi filem, contoh macam Wayang Budiman di Puncak Perdana, Shah Alam. Tayangan berserta diskusi filem yang sangat penting dalam budaya kita. Kita selalu terlepas pandang tentang kupasan intelek yang boleh dirungkai walau hanya dalam filpen sekalipun. Pembudayaan macam ni yang harus jadi rujukan  bukan sekadar cabang filem, even untuk cabang-cabang seni yang lain. Di Ipoh pun dah start buat macam tu, macam Wayang di Atas dikendalikan oleh Fared Rahman. Diskusi filem ni wajib dalam pandangan aku."

"Opera Java oleh Garin Nugroho adalah sebuah filem indie, bajet rendah yang sangat berkualiti. Aku teramat menyarankan untuk orang tonton filem ini sebab underrated sangat. Selain itu, Bunohan oleh Dain Iskandar Said, semua filem oleh Martin Scorsese, filem-filem Abbas Kiarostami. Pada pandangan aku,  filem The President oleh Mohsen Makhlabaf adalah penamat paling hebat dalam sinema abad ini. Ishmael Bernal dengan karyanya Himala, antara pengarah Filipina yang buat filem yang sepatutnya pengarah zaman sekarang buat, aku rasa elok sandingkan filem ini dan Silence oleh Martin Scorsese disebabkan subject matter. Rujukan lain termasuklah Quentin Tarantino, Nuri Bilge dan Tarkovski."

"Untuk skrip, aku suka baca skrip-skrip Coen Brothers dan Quentin sebab susunan dialog yang cantik seakan bermain dengan disiplin sajak."

"BABI! FILEM MACAM NI MACAM MANA MALAYSIA NAK MAJU?"

"Aku terpesona dengan kenyataan terbuka dari seorang netizen yang tak perlu aku tayang namanya, kerana melalui pernyataan itu terbangkit satu kenyataan berkenaan nationalisme dan perkaitan rapatnya dengan industri filem nasional. Kalau nak dilihat dari segi polemik yang wujud sepanjang dekad selepas zaman yang dikatakan sebagai zaman gelap sinema Malaysia, ramai yang bersetuju berkaitan penaklukan filem-filem luar telah mencacatkan filem tempatan dari mendapat tempat di
hati peminat. Bobby (1973) arahan Raj Kapoor menjadi fenomena di suatu ketika dengan tayangan selama berbulan-bulan kerana masyarakat pada ketika itu tergila-gila kan kisah cinta tragis antara
pasangan yang memulakan epidemik filem-filem yang bertemakan hindi atau hibrid hindi-Melayu yang mendapat kutipan yang sangat memberangsangkan. Tidak dinafikan industri filem semenjak Jalan Ampas hingga ke Studio Merdeka juga tegar dipengaruhi dengan epidemik gelombang hindi, kerana industri sifatnya kapitalis dan sudah kemestian untuk mereka mendapatkan lebih banyak penjualan tiket semaksima mungkin. Dari itu, wujudnya perbalahan antara pembikin, penonton, para seniman/seniwati dan golongan industri tentang kemana perginya identiti kita sebagai sebuah industri filem Malaysia? Adakah kita masih mahu ber jus-soli dengan pengkelasan filem berlainan bahasa dan tiada sifat aprisiasi filem yang "Malaysian"?

Jangan silap, aku tak bangkang kasta sejarah sinema kita yang penuh dengan warna-warni etnik dan bangsa. Kita tetap harus tanam sikap keterbukaan dengan revolusi sinema kebangsaan
kerana tanpa-nya, tidak mungkin akan melahirkan pembikin yang lebih bersifat kebangsaan dan kritikal. P.Ramlee dahulu telah pun membikin filem-filem yang diselitkan dengan latar belakang Malaysia yang lebih spesifik, namun masih dapat dilihat hibrid yang berlaku di dalam filemnya kerana berbalik kepada apa yang aku katakan, filem hindi memang boleh buat duit. Jadi apa yang berlaku? Apakah yang mereka ada dan kita tak ada dalam sinema kita? Jawapan yang sangat clihe, Industri mereka.  Industri mereka sangat hebat melahirkan filem-filem bahkan seperti kilang yang mencetak filem baru tanpa henti. Mengapa jadi bergitu? Kerana penonton mereka lebih gemar melihat filem mereka di sinema dan lebih selesa untuk mengagungkan bintang-bintang filem
mereka. Dari itu, kita dapat merasai beberapa pengarah-pengarah hebat dari India seperti Satyajit Ray, Mira Nair, Vinod Chopra dan banyak lagi. Mereka-mereka ini lahirnya dari industri yang mengeluarkan filem seperi kilang itu dan berbalah denga kepercayaan mengenai industri mereka yang seperti itu, maka mereka bertindak melahirkan filemfilem yang sangat kritikal dan lebih realist. Ya, mungkin ini adalah apa yang berlaku kepada industri kita sekarang ini.

Seperti sebuah ombak, pasca Bunohan karya Dain Said di dengungkan dengan kemunculan filem-filem yang berkualiti dan diberi nafas baru. Tiada lagi kisah mami yang gila fitnah dan emas, topik-topik kritikal mula diketengahkan untuk penonton dekad ini. Seakan revolusi, pertentangan pendapat juga berlaku tentang filemfilem yang di beri nafas baru seakan tidak mencerminkan sifat Malaysia dengan pendekatan yang lebih kritikal, mendalam dan rural. Walaupun sebenarnya semenjak Kaki Bakar arahan U-Wei pun tidak terlepas dari pertentangan gelombang sinema baharu ini. Namun, ini menjadi titik tolak tentang kemampuan anak-anak tempatan untuk membikin karya yang lebih kritikal. Namun, di mana Malaysia-nya? Adakah dengan membikin filem
yang berdialek pekat dan untung di pawagam atau membikin filem filem kritikal dan membawa karay ke luar negara untum anugerah prestij dengan membawa nama Malaysia baru karya itu diberikan mandat Filem Malaysian?

Filem Malaysia tetap filem Malaysia kerana datangnya dari orang Malaysia, diterbitkan di Malaysia, penggunaan bahasa yang Malaysia, maka Ya! Filem itu ditakrifkan filem Malaysia jika penuh  rukun-rukun yang disebut. Namun bagaimanakah sesuatu filem itu diangkat secara batinnya, niranya dan nilainya sebagai filem yang Malaysia?

Negara-negara seperti Perancis dengan French New-Wave nya, Iran dengan Iranian New-Wavenya, Itali dengaan Italian Neo-Realism dan beberapa lagi negara yang mempunyai kolektif sinema namun
tidak diangkat media, aku perasan setiap dari nama pergerakan mereka mempunyai nama negara mereka. Jadi di sini aku terfikir berkaitan satu analogi. Ada sebuah negara yang diberi nama negara
A. Negara A merupakan sebuah negara yang sedang mengalami pasca-perang dunia ke-2. Keadaan sosial dan ekonomi masih huru - hara dan rakyat negara A terlampau terkesan dengan keadaan negara mereka. Maka ada dua sekawan yang merupakan anak jati negara A yang baru sahaja menamatkan pembelajaran dari sekolah filem, berniat untuk membikin filem berkaitan penderitaan rakyat negara A. Katakan Ali membikin filem di negara A dengan pendekatan realisme dan didistribusi oleh industri filem negara A, tapi Abu membikin filem secara totalnya di negara B kerana Abu berpendapat untuk menguatkan lagi ideanya, Abu memerlukan bantuan industri negara B dan sistem distribusinya yang lebih efisien dan maju. Filem Ali dan Abu Mendapat sambutan yang amat
memberangsangkan dan di kenal pasti di serata dunia. Maka semua orang tau selepas baca bio wiki mereka asal dari negara A. Namun, adakah mereka dikenali sebagai pergerakan baru sinema negara A? Walaupun Ali dan Abu mempunyai pemikiran dan ideologi yang sama, adakah mereka diangkat sebagai kolektif pergerakan baru sinema negara A? Bagi aku, dalam sinema, apa yang penting adalah idea dari kepala pengarah yang mengandungi mesej penting untuk penonton mengkaji dan mengambil peduli. Perantaraan sinema dan dunia nyata mengikut beberapa pendapat, sangat berbeza. Ada yang berpendapat Sinema adalah sebuah jalan keluar kepada realiti dan ada juga yang berpendapat kekuatan sinema sebagai penampar realiti. Jika diperhatikan berkenaan wave-wave filem spesifik negara ini, mereka punya misi dan dorongan misi berlaku atas desakan faktor. Dasar desakan ini yang menguji sesuatu kolektif untuk kekal  sebagai unit atau menjadi ‘every-man-for-himself’.

Dalam analogi aku tadi, Abu dan Ali layak dipanggil sebagai sebuah kolektif sinema, jika Abu juga membikin filem di negara A. Kerana negara A dilanda pasca perang dunia kedua dan tindakan Ali adalah untuk mengambil peluang ini untuk menggunaakan pendekatan realisme, dari mata kepalanya terus ke lensa kamera untuk penonton dapat merasai secara terus dari apa yang Ali lihat. Berbanding Abu, Abu terdorong untuk mengembangkan ideanya dengan kelebihan industri yang ada di negara B. Walau dia masih menyampaikan mesej dan misi yang sama seperti Ali, namun pergerakan filem yang
distribusinya oleh negara B tetap tidak dianggap kolektif pergerakan sinema dari negara A. Jadi, dari analogi ini, harus kita faham berkaitan kekuatan sesuatu unit di dalam medium sinema adalah penting. Tidak salah untuk Abu menggunaakan khidmat negara B untuk menguatkan lagi karya-nya, tapi tindakan distribusi oleh negara B otu telah menyebab kan Abu hilang hak untuk memberi kemudahan kepada penonton negara A untuk melihat Filem-nya (mungkin mengambil masa kerana kerenah birokrasi antara kerajaan dengan kerajaan melepaskan sesuatu karya untuk tontonan luar). Pendekatan Ali pula bagi aku, kena pada tempat dan masa. Ali mampu mendapatkan gambaran mutlak dari keadaan yang sebenar. Dalam masa yang sama, kerja Ali menjadi lebih mudah tapi tidak terlalu lancar kerana kekurangan kemudahan atau kerosakan yang menyebabkan beberapa perkara mungkin terbantut tindakannya. Mungkin juga tidak dilepaskan oleh kerajaan negara A kerana gambaran yang terlalu REAL dari negara A bukan lah modal untuk menarik pelabur luar ke negara A (baca: politikus kapitalis). Maka apa yang kita dapat dari analogi ini. Adakah mereka diangkat sebagai sebuah unit yang memberikan satu pergerakan baru bersifat ‘-ism’ dalam sinema negara mereka? Atau tidak layak untuk bergelar sebagai unit sekalipun kerana faktor kerakyatan atau hak distribusi yang merenyahkan pembikin mahupun penonton? Bagi aku, bergerak sebagai sebuah unit itu penting, namun yang lebih penting sebenarnya adalah objektif utama yang menyebabkan terbentuknya satu kolektif itu. Jika wujud perkara itu, tidak perlu dirisaukan tentang perbezaan-perbezaan yang tidaak koheren dengan misi utama mereka, kerana medium filem adalah ilusi yang bentuknya adalah doktirin khusus, apabila berada di dalam kubikel gelap itu, dan rentang kelabu di hadapan itu mula memancarkan refleksi imejan bergerak, apa-apa pun boleh berlaku."


MASA DEPAN NOISE-POETRY DAN FILPEN

"Dari segi filem, banyak sangat. Jauh lagi sebelum aku boleh bikin (filem) sebenarnya aku tak boleh capai nirvana dalam filem ni. Akira Kurosawa pun tak pernah faham filem, inikan pula kita. Itu adalah keterujaan aku untuk terus bergelumang dengan sinema. Untuk Noise - Poetry, ada sesuatu yang aku sedang rangka untuk Rabak 10 tahun. Aku nak buat sesuatu yang baru. Mungkin pecah gitar lagi atau bogel terus?"

"Aku nampak scene art menuju jalan sihat dan terus wala'fiat hendaknya sampai bila-bila. Cuma dalam scene poetry, macam hutan. Yang lemah akan dicantas, dan yang kuat kekal kuat tapi harus survive sebab tak tahu bila masa akan ada pucuk naik jadi pokok litup bumi. Semua pun boleh mati. Revolusi seni itu biasa, tetapi penarahan kedalam sejarah peradaban demi kepentingan manusiawi, itu lebih penting!"

"Setiap artis perlu ada tanggungjawab dalam berkarya dan tak boleh tunduk dengan pembodohan semasa" Jelas Meor Hailree.





Ku lihat Miles Davis berkeroncong
di tatar basah kaki lima french hotel
kota ini, katanya
adalah Yankees malam di Tanah Melayu
kalau mahu di tanam trumpet-nya
sedalam-dalam lima kaki
di gadis gadis Kalthom
katanya
mungkin disana Bukowski sedang main 
atau meneguk todi
atau membakar mesin taip-nya
dan Pak Miles terus lesap
dalam jalan gelap 3 pagi
kota tua ini.

-Meor Hailree, September 2018-



Comments

  1. cuma di sini agen jud! online dengan proses yang sangat cepat :)
    ayo segera daftarkan diri anda di agen365 :)
    WA : +85587781483

    ReplyDelete

Post a Comment