BAWAHTANAHxINDIZZ: TITIKDINGINDAMAI DAN REVIEW EP BELUMKATA

Titikdingindamai adalah rangkuman rasa dan pola fikir dari 10 figura iaitu Hairul Hasnan, Moses De Silva, Titik, Dingin, Damai, Mye, Benz, Christ, Dave dan Adib.  Titikdingindamai adalah sebuah kugiran yang membawa genre folk dan musikalisasi puisi yang ditubuhkan pada tahun 2018 di Kota Kinabalu. Baru-baru ini Titikdingindamai meriliskan sebuah EP Belumkata yang mengandungi 5 buah lagu termasuk dua buah lagu yang menjadi runut bunyi rasmi sebuah filpen Dongeng arahan Jo Sidek.

Mendengar bait-bait lirik dari lagu-lagu yang terdapat dari EP Belumkata seperti  reflek kata-kata Sapardi Djoko Damono yang keluar dari kamar sepi seorang penyair dan membiarkan puisinya menentukan nasib sendiri. Lagu pertama dalam EP Belumkata bertajuk Aku, dia dan dia adalah sebuah keberanian bukannya hanya dari puisi-puisinya tetapi komposisi bunyian membuat kita tidak harus bersenang-senang dengan kopi dan hujan. Lagu ini membuat kita berfikir, menentukan nasib sendiri  dengan berani dan berhenti menjadi klise. Liriknya bersesuaian apa yang dideskripsi oleh  Nietzsche, mata muzik memandang kehidupan sebuah humor. Lagu Aku, dia dan dia ini adalah pembukaan yang baik, tidak klise dan membiarkan kopi dan hujan tidak berteman.

Lagu kedua mengambil tempat. Lagu yang bertajuk Hujan seperti sebuah lukisan yang kita lihat di galeri seorang pelukis yang misterius. Dalam lagu ini, ada menyebut “Ada yang jatuh di kota, ada yang memilih bukan disini” lagu ini memilih tidak berada dalam badan seorang penyair, lagu ini memilih berada dalam sebuah lukisan yang memeluk figura random yang singgah ke galeri. Lagu ketiga (Aku)dan keempat (Kami) adalah runut bunyi rasmi sebuah filpen Dongeng arahan Jo Sidek. Lagunya mencerita kelelahan dan mahu berehat dari kehidupan seharian yang menggigit. Dari segi melodi juga kita boleh merasakan kita mahu berehat dan mendengar lagu ini dengan tenang dan berhenti seketika dari hal-hal kebiasaan. Usai berehat, lagu Kami seperti kesinambungan lagu Aku, membawa kita bangkit setelah berehat dan berfikir tentang hala tuju bahkan dalam lirik lagu ini ada mengatakan “Yang dia tuju, yang kau tuju” dan “Yang kami tuju, yang kamu tuju”  sepertinya ingin menyampaikan cara kita memandang kehidupan selepas berehat dan berfikir tentang esok masih ada meskipun kita dihantui sejarah-sejarah yang banal seperti bait  ”barangkali esok kita seteru lagi” adalah sebuah perlawanan kehidupan yang kita boleh kalahkan. 

Lagu ini memandu kita ke konsep EP Belumkata dan lagu ini benar-benar membuat saya terasa dalam sebuah kenderaan. Lagu terakhir berjudul Menang, menggambarkan keseluruhan EP Belumkata, dari trek yang pertama hingga yang terakhir, kugiran Titikdingindamai mengolah dengan baik EP Belumkata dan tidak mahu kita sedar tentang Titikdingindamai itu sendiri adalah sebuah lagu tanpa tajuk yang kita boleh terlepas pandang jika kita tidak menikmati EP Belumkata ini dengan baik. Lagu Menang ini sepertinya menunda kekalahan yang dilihat dari sudut positif bahawa Titikdingindamai menjanjikan sebuah karya yang lebih baik selepas ini dan EP Belumkata adalah sebuah perjalanan awal untuk menjumpai makna Titikdingindamai. 

Secara keseluruhan, jika kita mendengar EP Belumkata didalam kereta, barangkali ia membawa kita kepada pertanyaan tentang kegelisahan, keresahan sambil melihat titisan hujan dibawah terang lampu jalan. EP Belumkata boleh jadi apa saja; sebuah buku, kenderaan mahupun sebuah lukisan yang tergantung di galeri. Untuk mengetahui segalanya tentang Titikdingindamai dan keresahan, kegelisahan EP Belumkata boleh berhubung dengan mereka melalui Instagram dan facebook atas nama Titikdingindamai.

Comments